Contoh Teks Bacaan Lantang (NA)

Contoh Teks Bacaan 1

Setelah membersihkan diri, aku memakai pakaian seragam sekolah baharu yang dibeli oleh Ibu. Ibu sedang bersiap-siap untuk bekerja. Setelah bersiap, aku bergegas ke dapur untuk menyediakan segelas air Milo untuk diriku sebagai sarapan. Tahun ini, ada sedikit perubahan. Aku sudah bergelar pelajar sekolah menengah.

“Aris, hati-hati ke sekolah, ya, Nak. Belajar rajin-rajin, ya. Kau sahajalah harapan Ibu, Nak,” pesan Ibu.

“Baik, Bu, Aris berjanji Aris akan belajar bersungguh-sungguh. Segala kesusahan kita akan lalui bersama ya, Bu,” jawabku.

Aku tahu, beliau banyak berkorban demi kami sekeluarga. Wanita yang bergelar ibu tunggal ini tabah mengharungi liku-liku hidup. Walaupun hidup kami kurang dari sempurna, beliau tetap memastikan yang aku disekolahkan dengan baik. Walaupun penat bekerja 12 jam di sebuah kilang yang berjauhan, setiap kali pulang ke rumah, beliau akan meluangkan masa, walaupun singkat, bersamaku. Kagum kulihat Ibu yang kuanggap srikandi zaman moden ini.


Contoh Teks Bacaan 2

Aku memandang wajah tua yang sudah berkedut itu; dengan beberapa garisan terpancar seolah-olah memikul satu penyesalan yang amat sangat, duduk di hadapanku. Aku ingin menceritakan kepada orang ramai mengenai kisah seorang lelaki yang pada satu ketika dulu sangat berjaya dengan perniagaan tempenya; namun kecundang gara-gara tersalah langkah. Kita selalu menggalakkan anak-anak supaya berkawan dengan orang yang baik-baik namun kita lupa bahawa orang yang datang daripada semua peringkat usia juga ada kejahatannya. Kejahatan yang tidak mengenal batas usia, jantina, bangsa dan lainnya.

 “Jadi, Encik ni dahulu orang gelar Pak Mat Tempe, ya?” aku bertanya sambil menyelak helaian buku catatanku ke muka surat yang kosong untuk ditulis.

“Begitulah, Nak. Panggil pak cik Pak Mat Tempe saja, lebih mudah untuk anak bertanya dengan bebas,” orang tua itu menjawab jujur.

Umurnya baru menjangkau 62 tahun tetapi dengan menyimpan semua masalahnya di dalam benak fikiran maka wajahnya nampak tua daripada usianya yang sebenar.

Leave a Reply

Name *
Email *
Website