Contoh Teks Bacaan Lantang (Ekspres)

Contoh Teks Bacaan 1

Guru memainkan peranan penting dalam pembangunan diri pelajar. Selain menyampaikan ilmu, guru juga berperanan meningkatkan dorongan atau motivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan. Motivasi merupakan kekuatan psikologi yang amat penting diwujudkan dalam konteks institusi sekolah dan pengurusan di dalam bilik darjah untuk mendorong semangat dan usaha pelajar. Motivasi yang lemah memberikan implikasi negatif terhadap perkembangan pelajar dari segi moral mahupun dari segi intelektual. Motivasi kelas mencakupi satu dimensi perubahan diri, aspirasi dan kesedaran yang diwujudkan untuk memberi pelajar rasa kejayaan, pencapaian, keseronokan, pembinaan harga diri dan pengukuhan kekuatan diri. Dorongan dalam diri dapat berlaku sekiranya pelajar diberi kesedaran, keinsafan dan penghayatan serta pencapaian yang lebih baik.

Selain motivasi, persekitaran sosial yang baik dan sihat akan juga menjadi pemangkin kepada pelajar untuk mencapai kejayaan. Kecekapan dan kemahiran guru menyediakan persekitaran positif merupakan kualiti profesionalisme yang meletakkan guru sebagai pendidik yang berwibawa. Hal ini kerana pelajar sentiasa mengharapkan persekitaran pemelajaran yang kondusif secara berterusan agar minat terhadap sesuatu bahan yang diajar tidak ketandusan.

Dalam pada itu melemahkan semangat ialah proses yang meruntuhkan moral pelajar sehingga mereka berasakan diri tidak berguna, tidak dihormati dan tidak dihargai. Baik guru mahupun anggota keluarga, perbuatan melemahkan semangat tidak patut dilakukan kerana mempunyai kesan buruk jangka panjang.


Contoh Teks Bacaan 2

Kemalangan jalan raya ialah satu tragedi yang boleh membawa maut. Bilangan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya bertambah dari semasa ke semasa. Hal ini telah menjadi perbualan setiap lapisan masyarakat.

Kecuaian manusia terutamanya pemandu kenderaan, merupakan faktor utama terjadinya kemalangan di jalan raya. Pemandu selalunya tidak mematuhi peraturan jalan raya seperti memandu terlalu laju atau melanggar lampu isyarat. Tujuan mereka adalah untuk cepat sampai dengan mengabaikan segala peraturan yang boleh mengelakkan berlakunya kemalangan.

Sikap pemandu yang memandu sewaktu pening, mabuk dan berkhayal akan menyebabkan mereka hilang tumpuan dan tidak dapat mengawal kenderaan dengan baik. Akhirnya kenderaan yang dipandu itu berlanggar dengan kenderaan lain atau terbabas ke tempat lain.  Penunggang motosikal pula selalunya bersikap angkuh dan tidak bertimbang rasa sewaktu memandu. Mereka memandu dengan laju serta menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan tanpa menghiraukan kepentingan pengguna yang lain.

Kebanyakan kemalangan jalan raya boleh dielakkan seandainya semua pihak  mengamalkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan berhati-hati. Mereka perlu sentiasa ingat betapa tingginya nilai nyawa mereka. Tambahan pula kemalangan jalan raya akan membuat kedua-dua mangsa dan keluarganya rugi. Si mangsa mungkin kehilangan nyawa atau mata pencariannya sedangkan keluarganya mungkin hilang orang yang disayangi atau tempat bergantung.


Contoh Teks Bacaan 3

Minda yang positif akan melahirkan insan yang cemerlang. Minda manusia amat hebat. Ia boleh mempengaruhi emosi, aksi dan fikiran seseorang. Apa yang anda kini rasai dan lakukan semua dipengaruhi oleh minda anda. Minda yang positif akan melahirkan seseorang yang periang tanpa tertekan.

Seseorang yang bersikap positif tidak akan menumpukan perhatiannya kepada kejadian yang tidak menggembirakan. Dia akan menjadikan kejadian tersebut sebagai jambatan menjalani kehidupan yang lebih baik di masa depan. Maka itu, seseorang yang bersifat positif, tidak akan dihantui oleh kenangan-kenangan yang pahit.

Insan yang positif akan mempunyai lebih kawan dan kenalan berbanding dengan seseorang yang asyik bermuram. Oleh kerana insan yang positif akan berfokus kepada kebaikan sesuatu hal, dia akan lebih berani menerima risiko. Oleh itu, dia akan mempunyai lebih banyak peluang untuk menceburi bidang yang baharu berbanding dengan individu yang berfikiran negatif. Manusia yang bersikap positif akan menganggap bahawa semua masalah yang ditemui hanya adalah sesuatu cabaran yang perlu diharungi. Justeru, mereka mempunyai sifat yang tidak berputus asa dan tidak mengaku kalah. Sifat tersebut memang diperlukan setiap insan yang hendak berjaya.

Minda yang positif memang boleh melahirkan insan yang cemerlang. Namun begitu, hanya sikap positif sahaja tidak mencukupi untuk menjulang kecemerlangan. Seseorang insan itu perlulah bekerja keras, bertanggungjawab dan jujur terhadap diri sendiri untuk meraih kejayaan.

Leave a Reply

Name *
Email *
Website